Jom Ke Sibu

DAP akan diuji buat kali pertama selepas PRU 13. DAP menang, Sarawak milik PR dalam PR Negeri Sarawak hujung 2010.....

10 March 2009

Sepah Lagiiiii, HABIS MADU JANGANLAH SEPAH DIBUANG!!!


Sepah bakal ganti Senario?

Oleh SHAZRYN MOHD.

KUMPULAN Sepah yang menjadi juara Raja Lawak musim ketiga membuka peluang mereka untuk menjadi pelawak pelapis negara.
MALAM Jumaat lalu, ternyata memberikan satu kejutan manis dan pastinya, ia akan tercatat sebagai satu pengalaman baru dalam diri tiga anak muda yang menamakan kumpulan mereka sebagai Sepah.
Masakan tidak, buat julung kalinya, setelah tiga musim bersiaran, pertandingan realiti, Raja Lawak berjaya menobatkan peserta berkumpulan pertama dalam pertandingan itu dengan menewaskan pencabar terdekat mereka, Jihan dan Amir.
Kemenangan Sepah yang dianggotai oleh Shahmira Muhamad, Mohd. Nadzri Zainal Abidin dan Mohd. Noor Murad sebenarnya adalah sesuatu yang sudah dijangka dari awal.
Walaupun sebelum pertandingan bermula, sudah ada suara-suara yang membisikkan satu-satunya peserta wanita di peringkat akhir, Jihan akan menjuarai pertandingan itu sekali gus memecah dominasi peserta lelaki yang diangkat sebagai juara sebelum ini.
Namun, itulah rezeki dan bak kata pepatah lama, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Apa yang pasti, dengan bergelar juara, kumpulan Sepah berjaya mengisi kekosongan bakat pelawak yang ada di negara ini yang kelihatan semakin tandus.
Setidak-tidaknya dengan kehadiran kumpulan berasal dari Johor ini mampu memberikan variasi kepada industri yang sering disogokkan dengan muka yang sama mendominasi segala medium yang terhidang untuk masyarakat.
Bukan itu sahaja, ada kalanya mereka kelihatan seperti kekeringan idea dan disebabkan itu lawak yang mereka tampilkan kelihatan begitu bodoh lantas mencerminkan betapa ceteknya ilmu yang ada dalam diri mereka.
Tetapi, bagi kumpulan Sepah, mereka berjaya menghasilkan sesuatu produk yang segar dan mudah diterima walaupun ada kalanya, ia mempunyai maksud yang tersirat sehingga ia mampu dilabelkan sebagai lawak lucah.
Tetapi bagi mereka, ia terpulang kepada penerimaan penonton dan peminat untuk menafsir sendiri apa yang mereka cuba sampaikan.
"Dengan berjayanya kami melangkah masuk ke gelanggang ini, ia merupakan tanda aras baru untuk kami dalam memberikan persembahan yang baik.
"Bukan mudah untuk membuat orang ketawa dan kami juga tidak memikirkan tentang kemenangan kerana misi kami adalah untuk memastikan penonton dan peminat kami terhibur dengan persembahan kami.
"Ini kerana undian mereka itu sememangnya cukup berharga dan apabila amanah itu diberikan kepada kami, maka dengan itu, kami harus lakukan yang terbaik.
"Sepanjang 10 minggu berada di sini, telah banyak yang kami belajar dan Insya-Allah, kami juga tidak akan berhenti setakat ini sahaja kerana perjalanan kami masih lagi panjang," kata Nadzri mewakili teman-temannya sewaktu sidang media sejurus selepas pertandingan berakhir.
Dengan gelaran juara, kumpulan Sepah berjaya membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta Citroen Picasso serta wang tunai berjumlah RM20,000 selain barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro.
Memang tidak dinafikan, sepanjang perjuangan mereka di gelanggang Raja Lawak, mereka berjaya mempamerkan persembahan yang cukup konsisten sehingga mendapat pujian daripada tiga pengkritik tetap iaitu Fauziah Nawi, Zaibo dan Shamsul Ghau Ghau dan Adlin Aman Ramlie selaku juri undangan pada malam pertandingan akhir.
Lantaran itu, apabila mereka dijulang sebagai juara, tiada apa yang harus dipertikaikan kerana apa yang mereka tampilkan pada malam pertandingan akhir sememangnya melayakkan mereka membawa pulang gelaran itu.
"Ini merupakan permulaan untuk kami bagi meneruskan apa yang kami minat selama ini. Dan, apabila anda mengatakan kami sudah mampu menggantikan tempat kumpulan Senario, ia satu penghormatan buat kami.
"Ternyata, kami belum sampai ke tahap itu lagi dan kami menghormati Senario sebagai kumpulan lawak yang kami kagumi. Apa yang kami harapkan adalah untuk kekal di persada seni tanah air," kata Noor pula.
Ternyata, pintu untuk kumpulan Sepah kini sudah terbuka luas dan apa yang pasti, mereka akan melalui satu fasa baru dalam hidup mereka yang sebelum ini tidak langsung mereka fikirkan.
Menjadi sanjungan peminat dan berada di dalam dunia glamor sememangnya cukup menguji keimanan dan kekuatan ukhwah sesama mereka.
Malah, adalah menjadi satu perkara yang normal juga apabila mereka akan berdepan dengan senario yang mampu menggoyahkan kedudukan mereka sebagai kumpulan lawak.
Siapa tahu jika selepas ini akan ada tawaran yang mahukan ketiga-tiga mereka bergerak secara solo dan faktor itu juga mampu menyumbang kepada perpecahan kumpulan mereka kelak.
Namun, dengan penuh optimis, Shahmira memberikan jawapannya apabila dia tidak mahu perkara sedemikian berlaku kepada kumpulan mereka.
"Kalau seorang tiada dalam kumpulan ini, ia boleh diumpamakan seperti patahnya sebelah sayap dan bayangkan kalau kedua-duanya tiada, maka, kami tidak mampu untuk terbang tinggi.
"Insya-Allah, kami akan pelihara apa yang kami telah sematkan dalam hati sebelum ini dan apa yang pasti, kami mahu kumpulan Sepah ini akan kekal sampai bila-bila," kata jejaka berusia 24 tahun itu lagi.
Ditanya tentang kekuatan kumpulan mereka, Nadzri memberitahu segala permasalahan yang dihadapi akan diselesaikan secara baik kerana mereka tidak mahu ia menjejaskan persembahan mereka.
"Tidak dinafikan ada kalanya berkumpulan ini masalahnya lebih berbanding dengan pelawak solo kerana akan ada banyak idea sehingga mampu mencetuskan perbalahan.
Platform
"Kami tidak nafikan kewujudan masalah itu tetapi kami selesaikan secara bijak dan matang demi kepentingan bersama. Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan dengan baik," jelasnya.
Tentang perkembangan dan hala tuju kumpulan Sepah pula, Astro sudah pun merangka beberapa program sebagai platform untuk mereka mengembangkan lagi bakat mereka.
Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani memberitahu, sebagai permulaan mereka akan tampil dalam sebuah program bercorak hiburan yang akan ditayangkan di Astro Ria (saluran 104) tidak lama lagi.
"Selepas itu, barulah kami akan fikirkan perancangan seterusnya untuk kumpulan Sepah dan semuanya akan dibincangkan bersama Maestro," katanya.
Bagi naib juara, Jihan atau nama sebenarnya, Nuur Jihan Musa, meskipun gagal bergelar juara, tetapi pengalaman yang dikutip sepanjang 10 minggu sememangnya merupakan kenangan yang terindah baginya.
"Banyak perkara yang saya belajar sepanjang pertandingan ini dan apabila berjaya ke peringkat akhir, tiada apa lagi yang mampu saya ungkapkan melainkan syukur.
"Tentang persembahan saya, memang saya tidak nafikan persembahan pertama itu saya tidak melakukan yang terbaik dan saya berasa sedikit kecewa.
"Namun, untuk persembahan kedua, saya menjadi semakin yakin dan apa yang saya persembahkan itu mendapat tepukan serta membuat orang ketawa, saya puas hati. Saya tahu saya tidak pandai menyanyi mengikut tempo tetapi saya lakukan mengikut kata hati saya," ujar wanita berusia 25 tahun ini penuh jujur.
Dengan kemenangan itu, Jihan berjaya membawa pulang sebuah motosikal Naza Blade 250R, wang tunai RM 14,000, barangan elektrik serta trofi sumbangan Astro.
Untuk tempat ketiga pula yang dimenangi oleh Amir atau nama penuhnya, Mohd. Amirullah Azmi, anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu berjaya membawa pulang wang tunai RM 8,000, barangan elektrik dan trofi.
"Saya tidak kisah pun apa orang nak kata. Apa yang saya tahu, saya lakukan yang terbaik untuk diri saya kerana inilah diri saya yang sebenar," katanya ketika diminta mengulas tentang persembahan hambarnya pada malam pertandingan akhir itu

No comments: